nuffnang

Ahad, 23 Disember 2012

cara mendengar radio bagi penerima implan



Salam semua.Saya ingin berkongsi mengenai satu cara bagaimana kita hendak mendengar radio.Malah ianya juga merupakan satu latihan yang baik kerana kita dapat mempelajari perkataan.Namun ianya tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana perbendaharaan kata mereka masih sedikit dan kurang.



Cara bagi mendengar radio ialah memilih saluran yang NADA SUARANYA MEMBOSANKAN.Maksud saya ialah Nada suara mendatar,jelas serta tidak terlalu cepat.Contoh saluran radio ini ialah IKIM.Nada suara penyampainya mendatar, jelas dan tidak terlalu cepat.Ini membuatkan otak saya mampu memproses maklumat seterusnya memahami apa yang diperkatakan.


Namun bukanlah bermakna saya mampu mendengar kesemua perkataan atau semua yang diperkatakan.Saya hanya mampu mentafsirkan hanya 45% perkataan sahaja(Ikut perkiraan matematik saya).Namun sebelum pembedahan implan koklea,saya sudah banyak kali cuba mendengar radio namun sepatah perkataan pun tidak saya fahami.


Namun taktik ini ada satu kelemahan.Kelemahannya ialah ianya hanya berkesan di dalam suasana senyap dan tidak terlalu bising.Ini memang merupakan kelemahan paling ketara bagi penerima implan koklea.
Sekian,selamat mencuba.....

Selasa, 4 Disember 2012

Water Protection untuk CI

Salam semua.Sekali lagi saya ingin berkongsi mengenai perkara baru.Kali ini ingin mengenai Water protection untuk CI.Protection ini baru sahaja keluar di pasaran,direka untuk melindungi processcor kita daipada air.Tujuan UTAMAnya ialah untuk berenang atau mandi di laut.Tidak kira Air masin atau Air Tawar.Itulah yang diberitahu saya oleh Mr.Alan semasa Prosij tempoh hari.




Water Protection ini menutupi keseluruhan Processor kita serta kedap udara.Harganya jika dibeli 1 Keping RM10,Namun Mr.Alan menasihatkan kita membeli 1 kotak kerana jauh lebih jimat.1 kotak ada  5 keping.Harganya Maaf saya sudah lupa namun dibawah RM50.

Sharing is caring...

Ahad, 2 Disember 2012

Tips Penjagaan CI yang betul

Salam semua.Pada 1HB Disember yang lalu,saya telah menghadiri majlis anjuran Hospital Ismail.Majlis itu bernama "Riang Ria Procij".Majlis ini juga turut dihadiri oleh wakil pengedar Implan koklea seperti MED-EL,LABCHEM dan Cochlear.com.



Tujuan majlis ini adalah untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman diantara para doktor pakar,pengedar CI dan Ibu bapa.Banyak ilmu yang berguna telah diperolehi semasa majlis ini berlangsung.Saya telah mengambil kesempatan ini untuk MENYOAL-SIASAT pengedar CI saya iaitu EN.Alan.




Dibawah saya kongsikan segala apa yang saya perolehi semasa SOAL SIASAT itu.

  • CI TIDAK MEMERLUKAN SERVIS ATAU PENYELENGGARAAN SEPERTI HEARING AID.Ini kerana ianya dicipta untuk kegunaan jangka panjang serta bersifat tahan lasak.Namun ianya memerlukan PENJAGAAN yang rapi seperti sentiasa mengelapnya,memastikan ianya kering dan tidak terjatuh
  • JIKA CI ROSAK,IANYA AKAN DIPERIKSA DULU OLEH PAKAR.Jika boleh diperbaiki,ianya tidak mahal.Namun jika ianya tidak boleh diperbaiki,jawapannya ialah mendapatkan yang baru.
  • Ibu bapa kena prihatin tentang CI anak.Jangan menunggu sehingga sudah rosak baru hendak dihantar untuk diperbaiki.Ini kerana ianya akan menambahkan kos serta memungkinkan CI anak anda tidak dapat diperbaiki.Selain itu masa menunggu juga agak lama sekitar2,3 bulan.
  • Jika CI rosak serta tidak dapat diperbaiki,cuba berbincang dengan pihak hospital yang menjalankan pembedahan itu.Ini kerana biasanya terdapat tabung khas untuk penerima implan.
  • PETUA UNTUK MEMASTIKAN BATERI CAS TAHAN LAMA IALAH DENGAN MENGELAKKAN IANYA KOSONG.Maksudnya kita mesti mengelakkan bateri kita kehabisan kuasa baru hendak dicas kerana ianya akan mengurangkan jangka hayat bateri itu.Pastikan bateri berada diparas 1 bar baru dicas.
  • SETIAP 6 BULAN SEKALI bersihkan dengan rapi CI anda.Buka kesemuanya seperi microfon,coil,processor,magnet lain-lain.Ambil sehelai tisu dan lap bersih-bersih terutamanya dicelah-celah yang tersembunyi.Jika tidak pasti bagaimana cara membukanya,rujuk buku panduan.
  • COIL yang menyambungkan processor sekiranya ingin dibuka,JANGAN DIPUSING-PUSING UNTUK DIBUKA.hanya TARIK TERUS.Sekiranya dipusing-pusing ianya akan merosakkan CI anda.
  • Wayar pengecas bateri jangan dicabut dan disimpan selepas digunakan.Biarkan sahaja ianya berada di dalam pengecas.Ini kerana apabila anda buka-cabut,buka-cabut banyak kali,wayarnya akan rosak.
  • Anda mungkin boleh mendapatkan ganti wayar yang sama Voltannya di kedai,namun perlu berhati-hati kerana sekiranya Voltannya kurang atau terlebih(walaupun tertulis jelas voltannya),Alat pengecas anda akan rosak.Lebih terus bateri pengecas juga turut rosak.Kos untuk memantikan dan mendapatkan yang baru alat pengecas ialah RM400 Manakala bateri pengecas sekitar RM700.
  • Silica gel boleh disimpam di dalam stoking bayi,kantung bunga telur atau apa-apa mengikut imaginasi anda.Ianya boleh digunakan di dalam Zephry anak anda.
  • Dengan perubahan teknologi,CI juga semakin maju.CI yang lama akan dihentikan pengeluarannya serta alat gantinya.Sebagai contoh CI tahun 2012(tapi sekarang tahun 2020),maka kerana CI tahun itu (2020) sudah maju,maka alat ganti bagi CI tahun 2012 akan dihentikan.Ini bermakna amda terpaksa menukar CI anda sekiranya ianya rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi.....




Sekian,terima kasih..Sharing is caring....



Khamis, 1 November 2012

Lapel microfon satu kaedah pengajaran

Salam semua.Sudah agak lama saya tidak update ruangan blog saya.Ini kerana saya sudah tidak memiliki akses internet di rumah lagi.Terasa berat nak mengeluarkan wang membayar bil internet sedangkan wang itu boleh digunakan untuk penabungan bagi menghadapi masalah di kemudian hari.

Namun itu tidak bermakna blog ini harus terkubur sama.Saya akan mencuri sedikit masa untuk menulis mengenai pengalaman saya belajar mendengar.Hari ini saya ingin berkongsi satu kaedah pembelajaran.Kaedah itu ialah mengunakan Lapel microfon.


Saya dapati semasa menggunakan Lapel microfon,Kekuatan volume yang saya dengari adalah jauh lebih kuat dari biasa.Ini kerana apabila kita memasang lapel microfon di alat Processor kita,secara automatik Lapel microfon itu mengambil alih fungsi microfon asal yang terdapat di alat processor.

Sepertimana kita ketahui,Dengan penggunaan sehari-hari,microfon asal yang terdapat di alat Processor terdedah kepada debu,habuk,peluh dan air.Ini membuatkannya sering tersumbat .Walaupun memiliki perlindungan seperti penutup microfon yang berpenapis,(yang mesti ditukar setiap 3bulan),namun kualiti bunyi turut merosot.

Bayangkan sebuah kipas yang bersih.Semasa bersih anginnya terasa laju dan sejuk.Namun selepas 3,4 bulan ianya akan berhabuk,maka anginnya juga terasa seperti tidak terasa dan tidak sejuk walaupun mengunakan kelajuan yang paling tinggi.Itulah yang saya maksudkan.

Berbalik kepada lapel microfon pula,kerana ianya tidak memiliki penutup bertapis seperti yang terdapat di dalam processor,maka bunyi yan terhasil lebih kuat(kerana ianya tidak memerangkap habuk).Jadi saya mencadangkan penggunaan lapel microfon ini didalam pembelajaran anak anda.


Selamat mencuba

Isnin, 1 Oktober 2012

Tips memanjang hayat rechargeable battery module



Tips memanjang hayat  rechargeable battery module


Salam semua.Di sini saya ingin berkongsi satu tips mengenai bagaimana hendak memanjangkan hayat rechargeable battery module anda.Setiap alat elektrik pasti akan rosak satu hari nanti.Ini mungkin akan memeningkan anda kerana kos bagi menukarnya kepada yang baru agak mahal dan mungkin membebankan.
Tipsnya amat mudah dan ringkas.Tipsnya ialah dengan menukar-nukar soket semasa anda mencas bateri anda.Ini bermakna anda tidak mengunakan soket yang sama sahaja setiap kali anda mengecas bateri anda.Walaupun anda memiliki 2 bateri sahaja,namun tidak bermakna anda mesti menggunakan 2 soket yang sama sahaja.Sebab itulah alat rechargeable ini memiliki 4 soket.Ianya bertujuan supaya kita boleh bertukartukar soket,sekaligus memanjangkan hayat penggunaannyanya.

Sekian,terima kasih.Selamat mencuba.....

Mohammed.Najib Ibrahim

Musuh di dalam Processor Implan



Musuh di dalam Processor Implan


Salam semua.Saya ingin berkongsi tips mengenai musuh di dalam processor kita.Saya pun baru sahaja perasan dan mengetahuinya.Sejak dari hari pertama  Switch On sehingga sekarang,saya tidak pernah lupa mengelap dan memastikan Processor saya sentiasa kering.Namun entah mengapa,tergerak di hati ingin mencuba aksesori yang belum pernah saya gunakan.

Di antara aksesori yang belum saya gunakan ialah lapel microfon,dan yang lain-lain yang memerlukan saya membuka accessory socket cover.Saya tidak pernah membukanya sejak dari hari pertama.sebab itulah,entah mengapa saya terasa ingin membukanya dan mencuba aksesori yang lain.Saya terperanjat kerana saya dapati di dalamnya lembap dan sedikit basah.Barulah saya perasan bahawa walaupun saya memastikan alat Processor saya sentiasa kering seperti mengelapnya dan menyimpannya di dalam Zephyr,namun saya tidak memastikan dalamannya kering.

Inilah kesilapan saya.Sedikit kesilapan mungkin akan merosakkan Processor saya.Mujurlah saya perasan akannya.Sejak dari hari itu,saya mula mengelap bukan sahaja bahagian luar,malah bahagian yang tersembunyi seperti di dalam accessory Socket Cover.Jadi disini saya ingin memberi nasihat kepada penguna Implan,mungkin anda seperti saya yang tidak pernah membuka Cover accessory soket.Jadi mulalah bertindak hari ini,dan pastikan alat Processor kita sentiasa kering.

Disini juga saya sertakan sedikit maklumat mengenai suhu penyimpanan serta kelembapan yang sesuai.

Condition                                          minimum                           maksimum
Storage temp                                       -40c                                       +50c
Storage relative humidity                      0%r/h                                   90%r/h
Operating temp                                    +5c                                        +50c
Operating relative humidity                  0%r/h                                   90%r/h

 Sharing is caring....


Mohammed.Najib Ibrahim

Jumaat, 21 September 2012

Bila bunyi menjadi Musuh bahagian 2

Salam semua.Dahulu saya pernah menulis mengenai bila bunyi menjadi musuh.Penulisan saya itu menerangkan bahawa OTAK penerima CI ini mudah penat apabila diajar memahami bunyi.Ini sekaligus membuatkan apa yang diajar walaupun sudah beratus-ratus kali tidak lekat diotak.Jadi berilah sedikit masa kepada anak berehat kemudian menyambung semula pelajaran.

Di dalam penulisan kali ini,saya ingin menulis mengenai bahagian kedua bila bunyi menjadi musuh.Namun kali ini,ianya amat berbeza sama sekali.Tahukan anda bahawa amat ramai individu normal yang tidak mengetahui mengenai implan koklea?Saya seringkali diajukan serta ditanya soalan mengenai Implan koklea,bagaimana ianya berfungsi,bagaimana bunyi yang didengari serta bermacam-macam lagi soalan dari mereka.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka bersikap ingin tahu.Namun mereka masih lagi tidak memahami akan proses mendengar yang saya lalui serta kesukarannya.Bagi mereka saya sudah boleh mendengar seperti normal.(rasanya ayat ini sudah banyak kali saya ulangi).Ini seterusnya menimbulkan ketidakselesaan kepada saya dan hubungan saya dengan kawan-kawan yang lain.

Bagaimana sekiranya anak anda pulang memberitahu bahawa rakan sekelasnya memberitahu tiada gunanya anak anda memakai Implan koklea sekiranya tidak dapat mendengar dengan Normal?Jika budak-budak tidak mengapa kerana mereka tidak memahami,namun jika Orang dewasa yang bertanya begitu kepada saya?

Jadi inilah yang saya maksudkan bila Bunyi menjadi musuh 2.Bunyi yang sepatutnya membantu saya mendengar,menjadi musuh apabila saya gagal untuk menangkapnya serta memahaminya........



Sekian....

p/s Alhamdulilah kerana saya telah saya lali akan kesemua ujian ini.Namun sengaja saya coretkan disini kerana saya tahu soalan itu ( Bagaimana sekiranya anak anda pulang memberitahu bahawa rakan sekelasnya memberitahu tiada gunanya anak anda memakai Implan koklea sekiranya tidak dapat mendengar dengan Normal?) pasti akan berulang dan terjadi didalam hidup anak-anak anda.Ini adalah salah satu cabaran yang perlu anda hadapi.


Mohammed.Najib Ibrahim

Khamis, 6 September 2012

ChickenSoup For the Soul

Salam semua.Saya baru sahaja selesai membaca buku yang saya beli dari BADAN-Sebuah kedai buku seperti Kedai Buku Popular di Angsana.Tajuk Buku itu ialah Chickensoup for the Soul.Buku ini terjemahan bahasa Melayu.Ditulis oleh Jack Canfield,Mark Victor Hansen dan Amy Newman.Buku ini ditulis berdasarkan cerita-cerita pendek dari pengalaman mereka yang tidak bernasib baik,yang ditimpa kesusahan dan kemalangan,namun berjaya mengatasinya.



Membaca buku ini banyak memberi saya semangat dan mengingatkan saya akan TUJUAN sebenar saya MENULIS.Seperti kata mendiang Christoper Reeves pelakon Superman-"Hidup kita tidak bermakna selagi kita tidak membantu orang.Walaupun kita tidak dapat bergerak,kita dapat memberi kesan yang mendalam dengan apa yang kita katakan".

Beliau juga berkata lagi-"Walaupun tubuh badan kita tidak berfungsi seperti dahulu,Namun Hati,Otak dan jiwa kita tidak kalah".

Ianya amat membantu mengingatkan Nawaitu saya semasa saya membuat keputusan untuk berjuang mendapatkan Implan koklea.Tujuan saya selain ingin mendengar dengan lebih sempurna,saya ingin membantu mereka yang tidak bernasib baik seperti saya.

Saya amat mencadangkan dan merekomenkan para ibu bapa untuk membaca buku ini.Buku ini banyak memberi pengajaran,keinsafan dan dorongan kepada diri.Ketahuilah diluar sana terdapat ramai yang tidak bernasib baik,namun berjuang dan tidak rela kalah atas nama Nasib dan Takdir.

Sebelum berundur diri,izinkan saya memetik satu lagi kata-kata mendiang-"Perasaan Syukur,Seperti juga kasih sayang,perlu diaktifkan.Apabila jari jemari saya dapat bergerak semula,saya mula menggunakan dengan tanpa henti ".

Begitu juga dengan pendengaran kita.Apabila kita mula dapat mendengar semula,kita harus melangkah dan terus melangkah kehadapan,jangan BERHENTI!


Mohammed.Najib Ibrahim

Kepentingan Kesihatan pada Penerima CI

Salam semua.Bagaimana dengan sambutan perayaan Aidilfitri anda sekalian.Saya mengucapkan semoga Lembaran kali ini membawa kerahmatan kepada anda dan seisi keluarga.Pada kali ini saya ingin menulis mengenai kepentingan kesihatan kepada penerima CI.


Pinjam gambar google


Tahukah anda bahawa seperti manusia biasa yang apabila tubuh badan mereka kurang sihat,maka deria kita juga akan menjadi kurang aktif.Sebagai contoh apabila kita demam atau selesema,selera makan dan deria bau kita akan berkurangan.Begitu juga dengan penerima Implan.Cuma deria pendengaran mereka akan kurang peka dan kurang aktif kepada bunyi.Mereka juga mudah keliru sekiranya berada di dalam keadaan bising dan sesak.

Saya juga begitu.Walaupun Implan koklea tidak lagi menggunakan fungsi asal telinga,namun saya dapati apabila saya kurang sihat,deria sensitiviti pendengaran saya berkurangan.Selain itu seperti orang normal,kadang-kadang kita berasa teramat terganggu dan tidak senang dengan bunyi-bunyi tertentu apabila kurang sihat.Bunyi yan perlahan menjadi amat menganggu fikiran.

Jadi sekiranya apabila anak anda kurang sihat,sekiranya ia menolak alat CI-nya maka biarlah sehinga dia sembuh.Anak anda juga manusia biasa.Sedangkan kita apabila sakit juga kadang-kadang terasa terganggu dengan bunyi yang perlahan,inikan pula penguna CI bukan?

Bersabarlah dengan anak anda sekiranya mereka semasa sakit kurang memberi perhatian atau respon kepada anda.Ini kerana deria mereka berada di dalam keadaan "kurang Sihat dan memerlukan masa untuk sembuh".

Sekian,Terima Kasih.....


Mohammed.Najib Ibrahim

Isnin, 3 September 2012

Come back

Salam semua.Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana tidak berkesempatan untuk menulis sepanjang bulan puasa dan Hari raya.Ini kerana pada bulan puasa saya teramat sibuk.Rezeki saya melimpah ruah kerana pada petangnya sampai ke malam saya bekerja sambilan di Selasih Restoren,Persada Johor menjaga Buffet Ramadhan.

Selepas Raya pula,saya masih lagi sibuk.Walaupun tidak bekerja di Selasih Restoren ( bekerja hanya pada bulan Puasa sahaja) saya sibuk memenuhi undangan majlis rumah terbuka kawan-kawan sekerja.Malah jika ada masa terluang saya lebih gemar mencuri masa untuk membaca.Saya gemar membaca kerana ianya amat menyeronokkan bagi saya disamping menajamkan Akal.Malah jangan anda tidak tahu,apabila akal menjadi Tajam,maka proses pembelajaran mendengar juga semakin Lancar.

Bacaan terbaru yang saya sedang baca sekarang ialah Doktor Umum-Memoir Tun Dr.Mahadir Mohammed.Memang tebal isi buku ini mengalahkan Kamus Oxford saya.Namun ianya amat menarik dan banyak yang boleh dipelajari.Jadi saya merekomenkan sekiranya anda tercari-cari bacaan yang berbentuk PENGALAMAN dan SEJARAH,maka buku ini seharusnya dimiliki oleh anda.

Okey,Saya berjanji akan terus berkongsi maklumat dan info mengenai Pembelajaran saya.Di harap usaha saya ini direstui ALLAH yang maha Kuasa. Sekian...



Sabtu, 18 Ogos 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam semua.Di hari raya yang mulia ini,saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat islam.Inilah Hari Raya pertama saya sebagai Bionic Man.Namun saya terpaksa bekerja kerana pada tahun ini tiba giliran saya bekerja di Hospital Sultanah Aminah,Johor Bahru.


Banyak Suka Duka,pengalaman pahit manis yang saya tempuhi sebelum dan selepas bergelar Bionic Man.Di Masa hadapan,saya berharap agar lebih banyak lagi kejayaan yang akan saya kecapi,lebih banyak lagi impian yang akan saya gengam.Insya'ALLAH.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua....

Mohammed.Najib Ibrahim

Isnin, 13 Ogos 2012

Macam mana bunyi pertama kali switch ON

Salam semua.Saya terpanggil untuk menulis rencana ini.Baru-baru seorang rakan facebook saya,anaknya menjalani pembedahan inplan koklea.Pada masa switch on,anak ini tidak mahu memakai Alat CI nya.Jadi beliau ada meminta pendapat saya mengenai hal ini.Saya berasakan bahawa ramai lagi anak CI diluar sana yang bertindak sedemikian pada pertama kali switch On.



Jadi,saya berharap penulisan saya ini dapat memberi panduan dan pengetahuan pada ibu bapa.Untuk makluman para Ibu Bapa,bunyi yang didengari pada masa pertama kali Switch On ialah SANGAT KUAT.Bunyi ini pada sejam dua,ianya teramat asing dan berbeza.Sebagai makluman lagi,saya sebelum menjalani pembedahan Implan Koklea,saya mendengar menggunakan Hearing Aids.Jadi memang terdapat bezanya pada Bunyi yang saya dengari pada Ci saya.

Para Audio serta wakil jualan meminta saya keluar berjalan-jalan di sekeliling hospital untuk sementara waktu bagi memastikan bahawa saya mampu menerima dan dapat menahan kekuatan Volume itu.Memang saya akui saya agak BINGGUNG dan PENING-PENING.Namun saya kuatkan semangat bahawa saya mampu menerima bunyi itu.Rasanya semua sudah mengetahui bahawa untuk pertama kali Switch On,kekuatan Volume-nya hanya diaktifkan seminimun mungkin.Namun untuk kes saya,seorang dewasa yang pernah mendengar bunyi,saya tidak dapat memastikan sama ada kekuatan Volume saya dengan kanak-kanak adalah sama.

Selepas balik dari Hospital,saya tidak membuka alat saya sebaliknya saya terus memakainya sahaja.Malah mungkin anda terkejut kerana pada hari yang sama juga hanya 3jam selepas saya switch on saya keluar dengan rakan menonton wayang.Risau juga saya sekiranya semasa saya menonton wayang,saya tidak dapat menahan kekuatan Bunyi pawagam.Namun ianya biasa sahaja.Ini bermakna bahawa hanya 3jam sahaja yang saya perlukan untuk serasi dengan kekuatan bunyi itu.

Namun anda harus ingat bahawa saya bukannya pekak terus,sebaliknya saya mendengar dengan hearing aids.Jadi bagi kanak-kanak yang tidak pernah mendengar,berbeza reaksi mereka.Ada yang mampu menerima bunyi itu,malah ada yang tidak dapat menahan bunyi itu walaupun ianya seminimum mungkin.Apa yang boleh dilakukan ialah memberi sokongan kepada anak,sentiasa bersamanya dam membiarkan Masa menjalankan tugasnya.Semakin lama,anak akan semakin menerima kekuatan bunyi itu.

Dibawah saya sertakan sekali rencana saya pada hari pertama saya switch.Klik sini

Sekian....

Khamis, 9 Ogos 2012

Latihan mendengar tanpa melihat

Salam semua.hari ini pada waktu Tengahari,saya ada sessi terapi pertuturan.Pada sesi kali ini,saya diajak berbual-bual tanpa melihat wajah juru terapi saya.Juruterapi saya melakukan ujian dengan 2 cara iaitu di dalam keadaan senyap dan di dalam keadaan bising.

Di dalam keadaan senyap,saya hampir dapat menjawab kesemuanya soalannya.Namun semasa uian dlakukan di dalam keadaan bunyi bising,keputusan saya agak merosot.Juru terapi menggunakan Handphone miliknya dan mengunakan speaker untuk mendendangkan lagu(entahlah,saya pun tak tahu lagu apa,sebab saya ni klasik sikit hehehe).

Salah satu faktor mengapa keputusan saya merosot ialah sesetengah lagu terdapatnya frekuensi yang tinggi.Frekuensi ini mengganggu fikiran saya untuk mencari dan mengenal apakah perkataan yan disebut itu.Selain daripada frekuensi,kekuatan bunyi juga banyak mempengaruhi keputusan saya.


Namun saya tidak boleh berpuas hati dengan keputusan ini.Ini kerana bunyi bising yang disediakan oleh juruterapi saya ialah Satu.Di luar bilik terapi,terdapat banyak bising yang mampu mengganggu tumpuan dan fikiran kita untuk mengenal bunyi dan perkataan.

Jadi saya akan membuat sedikit latihan di rumah.Saya akan sediakan 2 atau 3 bunyi bising sebagai faktor ganguan(bunyi tv,radio dan Lagu dari Handphone) semasa sessi pelajaran saya.Kekuatan Volume ketiga-tiga alat ini jangan pada paras sama,sebaliknya berbeZa.Ada yan tinggi,ada yang rendah sebagai meniru keadaan di luar.Jadi saya berharap otak saya dapat mencipta cara memahami dan cara tersendiri untuk menangani masalah ini.

Sekian....


Mohammed.Najib Ibrahim

Jumaat, 27 Julai 2012

Solat-Patut buka atau Pakai CI

Salam semua.Saya disini ingin menulis mengenai Solat.Adakah kita harus menggunakan CI semasa Solat atau tidak.Bagi pendapat saya,tidak.Alat CI itu longgar,apabila kita Rukuk atau sujud,Terasa ianya seperti ingin terlepas dari telinga.

Saya lebih gemar membuka dan menyimpan alat CI saya di dalam bekas,kemudian meletakkan dihadapan saya semasa Solat.Walaupun saya tidak dapat mendengar,namun hati saya akan lebih tenang dan tidak perlu risau alat CI saya tertanggal.Ini cuma akan merugikan dan merosakkan Solat saya.


Namun,lain orang,lain bentuk telinganya.Ada yang muat-muat,ada yang besar,ada yang kecil.Terpulang kepada individu itu sendiri.


Sekian....

Mohammed.Najib Ibrahim

Ahad, 22 Julai 2012

Habex-Laman web menjual peralatan Hearing Aids dan Cochlear Implan

Salam semua.Semasa saya mencari-cari maklumat mengenai Cedis(seperti di dalam penulisan terdahulu saya) di dalam internet,saya terjumpa laman web ini.Laman web ini bernama HABEX.Laman web ini menjual pelbagai peralatan dan aksesori Hearing Aids dan Cochlear Implan secara Online.

Kebaikan laman web ini ialah ianya terdapat banyak Promosi secara Online dimana pelbagai tawaran diskaun dan barangan diberikan.Saya sertakan gambar laman web ini seperti di bawah.

halaman depan laman web

promosi diskaun keatas barangan terpilih

Di antara barangan yang dijual disini.
Disini saya sertakan laman web ini.HABEX.Klik tulisan Habex tadi.

Sekian,terima kasih,Sharing is Caring.

Nota-Saya hanya sharing mengenai info sahaja.Namun saya tidaklah membeli secara online kerana saya ini jenis yang mesti mahu barangan di depan mata dahulu baru saya beli.


Mohammed.Najib Ibrahim

Cedis-Silica gel

Salam Ramadhan.Bagaimana dengan Puasa anda?Saya berdoa kesemuanya dapat menunaikan ibadah wajib ini dengan sempurna.Baru-baru ini saya telah mengodek-godek(menyelongkar) beg yang menyimpan kesemua aksesori dan peralatan CI saya.

Saya telah menjumpai satu barang yang saya tidak pernah terfikir pun untuk menggunakannya(kerana xtahu hehehe).Namun saya dapati yang benda ini boleh digunakan untuk memastikan CI kita sentiasa kering.Nama alat ini ialah CEDIS CAPSULES.Cuba lihat beg CI anda,pasti ada benda ini.


Saya dapati ianya sama seperti Silica gel.Jadi saya pun merujuk kepada internet untuk mengetahui kegunaannya.Ianya dikeluarkan oleh satu syarikat bernama Cedis.Benda ini sama seperti silica gel dan berada dalam bentuk kapsul berbentuk bulat.,Namun ianya tidak boleh digunakan untuk mesin Zephr Dry kit kita.Ianya hanya untuk kegunaan pada suhu bilik sahaja.Jadi saya pun menggunakan kapsul ini seperti dalam gambar dibawah.

 
Saya menggunakan Capsules itu seperti ini.
Harganya ialah Australian Dollar 12.So kalau tukar ke matawang kita mungkin dekat RM50.Jika anda berminat nak tahu mengenai alat ini,saya sertakan alamat webnya.Cedis (klik tulis Cedis tadi).

Sekian,Sharing is Caring.Jika saya salah mengenai info ini,sila betulkan saya.Terima kasih...


Mohammed.Najib Ibrahim



Rabu, 18 Julai 2012

Kepentingan SILENT ROOM

Salam semua.Di sini saya hendak terangkan kepentingan Silent Room.Silent Room ini ialah bilik senyap,yang mana ianya tertutup dan amat kurangnya gangguan bunyi dari luar.Bunyi dari luar yang mungkin menganggu ialah bunyi Telivisyen,radio,kereta motor dari luar rumah,suara ibu bapa bercakap dan pelbagai lagi.

Kepentingan Silent Room ini hanya Satu iaitu ianya membantu Penerima Implan mendengar dengan lebih lebih jelas.Saya berkata demikian berdasarkan pengalaman saya.Saya belajar di dalam dua suasana iaitu di dalam suasana senyap dan juga bising.Pada mulanya saya belajar mengenal bunyi dan perkataan di dalam bilik senyap.Saya akan mengulang-ulang perkataan yang disebut dan didengari semula(melalui rakaman rekod suara saya di dalam telifon).Tujuannya supaya otak saya mengenal dan dapat memahami perkataan itu seterusnya membina asas bagi perkataan itu.

Jadi apabila otak saya sudah memiliki asas bagi mengenal bunyi itu,apabila saya mula belajar di dalam suasana bising,saya masih mampu mengenal perkataan itu.Ini kerana walaupun ada sebahagian perkataan itu mungkin saya hanya dapat menangkap separuh perkataan sahaja,namun kerana saya sudah membina asasnya,maka otak saya dapat meneka bunyi perkataan itu.

Sebagai contoh perkataan POSMEN,saya dapat mengenal perkataan itu melalui POS-MEN.Jadi apabila saya hanya dapat menangkap sebahagian perkataan seperti awalan perkataan POS,sedangkan MEN saya kurang jelas mendengarnya,namun kerana saya dapat menangkap bunyi POS,maka saya tahu ianya perkataan POSMEN.

Jadi saya ingin mencadangkan para ibu bapa membuat latihan di dalam bilik senyap dahulu.Setelah anak mula membina asas mengenal perkataan itu maka ulanginya di dalam suasana bising pula.Lihat sekiranya anak dapat menangkap perkataan itu.

Selamat mencuba...

Mohammed.Najib Ibrahim

Ahad, 15 Julai 2012

Laman beli belah Online untuk HA/CI

Salam semua.Saya baru-baru ini ada mengunjungi satu laman web yang khusus untuk HA/ci/Di sini ada banyak alat-alat,peralatan dan aksesori HA/CI di jual disini.Malah ada yang lebih murah daripada pengeluar sendiri.Mungkin ada diantara pembaca ingin melihat-lihat laman web ini.Yang baiknya mengenai laman web ini,kita boleh melihat perbandingan harga serta jenama HA/CI .Malah anda banyak info dan terdapatnya majalah mengenai info penjagaan,senarai harga dan lain-lain.

Dibawah saya sertakan laman web ini.hearing review(Klik hearing review tadi).Laman ini membawa anda kepada aksesori,peralatan CI/HA






Manakala laman web ini pula memberi penerangan,info,tunjuk ajar dan segalanya mengenai HA-CI.Banyak ilmu yan g boleh di dapati disini.Hearing review Letter(Klik Hearing review Letter tadi)


Sekian,terima kasih.Sharing is caring....


Mohammed.Najib Ibrahim

Berani tak buat macam ini?

Salam semua.Jom lihat gambar dibawah.



Benar,ini bukan gimik malah ianya telah terbukti dan disahkan oleh pengeluar Implan kita Cochlear.com

Implant Battery System Breakthrough

Cochlear, Centennial, Colo, has announced that the FDA has approved the Nucleus 5 rechargeable battery system for adults and children with severe-to-profound hearing loss. Cochlear has offered rechargeable batteries with previous hearing systems, but with the Nucleus 5 implant, its engineers have achieved an exciting industry breakthrough: when using rechargeable batteries, the Nucleus 5 Sound Processor is the world's only submergible sound processor. An IP57 water protection rating means that the sound processor is not only splash resistant, but it can be submerged into three feet of still water for up to 30 minutes.
(800) 523-5798 


Namun walaupun begitu,saya berani jamin yang saya tidak akan sesekali berbuat begini.Sebabnya,anda semua tahu.......


Mohammed.Najib Ibrahim

Problem alat kawalan CI

Salam semua.Di sini saya nak share mengenai alat kawalan CI.Saya sebenarnya amat jarang pakai Alat kawalan ini kerana saya sudah biasa menggunakan No 1 atau 2 sahaja di dalam penggunaan harian saya.No 1 dan 2 ialah Mengguatkan sahaja Volume pada alat CI saya.

Namun saya perhatikan jika seminggu kita tidak menghidupkan alat kawalan kita,ianya tidak dapat mengesan alat CI walaupun alat CI kita switch On.Namun disini saya sertakan juga cara menyelesaikan masalah ini.

Alat kawalan tidak dapat mengesan CI walaupun Switch pada CI on    
Letak sahaja Processor CI di belakang Alat kawalan,pastu nanti ada gambar beserta tulisan PAIRED keluar,klik sahaja Paired itu.

Semudah itu sahaja.Jadi kalau tetiba alat kawalan anda tidak memberi respon pada Alat CI anda,anda cuma perlu ikut cara yang saya buat ini,InsyaALLAH berjaya...



Mohammed.Najib Ibrahim...