nuffnang

Khamis, 21 September 2017

Hear Me - Persatuan untuk ibu bapa yang memiliki anak bermasalah pendengaran

Salam semua.Pada hari ini saya ingin menulis mengenai Hear Me,sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh para ibu bapa yang memiliki anak bermasalah pendengaran.Ini kerana di Malaysia ini,persatuan yang mendidik,membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada anak-anak yang bermasalah pendengaran sangatlah terhad.Tambahan pula bidang Audiologi serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan anak belajar mendengar dan bertutur di awal usia masih belum menggalakkan.




Hear me telah ditubuhkan pada Jun 2015 oleh para ibu-ibu yang memiliki anak-anak yang memakai alat CI/HA/BONE untuk mendidik anak bercakap dan mendengar serta berkongsi pengalaman.Ianya bernula dengan kumpulan ibu-ibu yang kecil di Facebook pada tahun 2011.Sekarang dianggarkan seramai 150 orang ibu bapa berinteraksi  di whatapps yang dimiliki pertubuhan ini.

Objektif utama Hear Me ialah menyediakan platform untuk mengumpulkan dan menghubungkan keluarga dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan mempunyai pelbagai senario.ini memudahkan sebarang perkongsian maklumat,komunikasi serta bentuk pertolongan yang boleh diberikan sesama ahlinya.

Melalui jaringan ini,Ibu bapa dapat :
  1. belajar dari ibu bapa lain yang mempunyai masalah yang sama
  2. mendapat sokongan dan kekuatan
  3. berkongsi pengalaman
  4. mengutip tip-tip yang berharga dari ibu bapa yang lain
  5. Kerap mengadakan aktiviti-aktivi sosial untuk anak-anak dan keluarga seperti jamuan hari raya,gathering,lawatan,bengkel ,workshop dan sebagainya
  6. mengadakan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah pendengaran dan kebaikan menggunakan alat pendengaran di kalangan keluarga dan masyarakat
  7.  mengadakan kutipan dana
  8. bekerjasama dengan Profesional dan pelbagai agensi untuk kebaikan ahli

Diantara Takwim aktiviti Hear Me sepanjang tahun 2017
  • Feb  gathering/sharing session di Putrajaya
  • April AGM/Parenting Talk di Putrajaya
  • May Hear Me di On Bfrenz,TV AlHijrah,Meeting pertama AJK,
  • June Jualan Amal Sampul Raya Hear Me serta majlis berbuka puasa di Majid Jamek Kompleks Pertanian Serdang
  • July Hear Me on Berita Harian,Hear Me on di Bernama Radio dan Open House di Dewan Mayarakat Taman Rowther Setapak
  • Sept Chit Chat bersama Company Cochlear dan Medel

Majlis Rumah terbuka Hear Me

  Ahli jawatankuasanya terdiri daripada
  • Pengerusi          -   Pn Maryam Sakinah A Abdullah(Perlis)
  • N.Pengerusi      -   En.Feroz(Johor)
  • Setiausaha         -   Pn.Noorshaliza Hanafi(Pahang)
  • N.Setiausaha     -   Pn.Teefa Rosly(Sarawak)
  • Bendahari          -   Pn.Faoziah(Kedah)
  • AJK
        • Pn.Farah AlyaRayyan(Putrajaya)
        • En.Megat(Perak)
        • Pn.Aisyah(Kelantan)
        • Pn.Fazlin Hussin(Kuala Lumpur)
        • En.Khairul Manaf(Selangor)


Chit Chat ibu bapa bersama Cochlear dan Medel


Yuran keahlian:            Tahun pertama RM60(Suami & Isteri) bersamaan RM30 seorang.Anak-anak FOC
                                      Tahun kedua dan seterusnya RM40 setahun bersamaan RM 20 seorang.


Pembayaran  keahlian boleh dilakukan di akaun persatuan     MAYBANK PERSATUAN  IBU BAPA ANAK  PENDENGARAN MALAYSIA (HEAR ME) 562263518168.    

Selepas pembayaran dibuat,mohon kerjasama sendkan slip/resit  dan emailkan ke hearme.my@gmail.com



SEKIAN TERIMA KASIH...


Kredit diberikan kepada Pn.Noorshaliza Hanafi diatas maklumat mengenai Hear Me.
  

Ahad, 17 September 2017

Apabila Pengecas bateri Processor berkelip-kelip

Salam semua.Pernahkah anda apabila ingin mengecas bateri processor anda,tiba-tiba lampu kuning berkelip-kelip.Ini menyusahkan anda kerana ianya tanda bateri anda tidak dapat dihubungkan dan tidak dapat dicas.Apakah yang akan anda lakukan?

Adakah anda akan mencuba banyak kali mengeluar dan kembali memasang bateri pada charger anda?.Atau anda mencuba mengelapnya tetapi masih gagal?Biar saya berikan anda resolusi caranya..

Tahukah anda bahawa masalah ini sebenarnya paling kerap berlaku pada bateri lama yang berusia 1 tahun.Ini kerana pin padanya telah mula berkarat dan berubah warna.Pin yang baru berwarna kuning emas manakala yang lama berwarna coklat.selain itu anda dapat melihat perubahan warna pada sekeliling bateri anda.
  
2 jenis bateri yang sama tetapi berlainan usia
Perhatikan gambar di atas,bateri pertama yang saya pegang ialah bateri baru di bawah 1 tahun,manakala bateri kedua 2 tahun keatas lamanya.Terdapat perbezaan di antara yang baru dan lama seperti yang baru warnanya kelabu terang dan pinnya berwarna keemasan.selain itu pinnya kelihatan tajam.Yang lama pula berwarna kelabu gelap,pinnya berwana coklat dan pudar setra pinnya kelihatan tumpul.

keadaan charger yang kotor
Ini yang terjadi pada saya apabila saya mengecas bateri saya.Saya dapati bateri lama saya asyik berkelip-kelip sahaja apabila cuba dicas sedangkan bateri baru saya sekali masuk terus dicas.Ini membuatkan saya terfikir adakah bateri lama saya sudah rosak? Memeningkan kerana kos bagi membeli bateri baru berharga rm980 seunit.

Apa yang perlu dilakukan ialah mengambil putik kapas dan mengelap pada tempat cas bateri anda.lakukan seperti menyental.anda akan dapati warna putih pada putik kapas anda akan berwarna kelabu kehitaman.Itu tanda karat.Namun sekiranya anda malas untuk selalu mengelap dan membersihkan tempat cas dengan putik kapas,anda boleh lakukan dengan penyembur atau cecair pembersih karat.Ianya sangat berkesan.

Salah satu benda yang saya gunakan untuk membersihkan karat pada bateri.




 Sekian,Terima Kasih.

Khamis, 14 September 2017

Goodbye Nucleus Freedom

Assalamualaikum semua pembaca.Pada entri ini saya kali ini,saya ingin menulis mengenai Nucleus Freedom Processor dan berita buruk kepada semua penguna Nucleus Freedom.Umumnya mengetahui bahawa mulai 31 Dis 2017 syarikat pengeluarnya akan menghentikan pengeluaran barangan Processor ini.



Ini kerana alat ini telah berada di pasaran selama 12 tahun.Nucleus Freedom mula diperkenalkan pada tahun 2005.Sebab utama pihak syarikat menamatkan sebarang pengeluaran mengenai Nucleus Freedom ialah kerana alat ini telah ketinggalan zaman dan pihak syarikat ingin fokus kepada produk syarikat yang lebih maju dan kehadapan seperti nucleus 7 serta Kanso.


Namun pihak Syarikat memberi masa sehingga 2022 untuk pengguna Nucleus Freedom bagi mengumpul dana untuk membeli alat Processor yang baru.Selama tempoh itu pihak akan akan membekalkan peralatan ganti serta membaiki alat pengguna.Namun selepas 2022,sebarang pembelian peralatan ganti atau pembaikan akan dihentikan sama sekali.




Bagi pengguna Nucleus Freedom ini,ini satu berita buruk kepada mereka.Ini kerana kos bagi membeli processor baharu yang terkini seperti Nucleus 6,berharga hampir 35 ribu ringgit.Harga yang sangat mahal bagi kebanyakan pengunanya yang hanya berpendapatan biasa.Ditambah lagi dengan barangan yang di niagakan dengan matawang Dollar,ianya akan melambung naik dan semakin membebankan.


Bagi kakitangan kerajaan,mereka agak beruntung kerana boleh meminta bantuan dana daripada kerajaan melalui sara ubat.Namun kelulusannya agak lambat dan sangat bergantung kepada peruntukan terhad yang disediakan oleh kerajaan.Apatah lagi  terpaksa bersaing dengan ribuan kakitangan lain yang memohon bantuan perubatan.

Nucleus Processor 6 yang berharga 35 ribu ringgit

Namun bagi kakitangan swasta pula,mereka terpaksa membeli sendiri sama ada dengan bantuan derma,simpanan sendiri atau meminjam wang dariopa bank.Diharap pihak Kerajaan dapat membantu mereka ini dengan menyediakan dana atau pinjaman yang zero faedahnya atau menanggung separuh kos pembelian.Ini sangat membantu mereka ini .


Walaupun saya pengguna Nucleus 5 dan tidak terkesan dengan berita in,namun tidak lama lagi akan tiba masanya untuk processor saya dihentikan pengeluaran.Ini kerana setiap produk ada tempoh masanya iaitu di dalam masa 10-12 tahun di pasaran.Harapan saya semoga pengguna Freedom dapat mengumpul dana yang secukupnya untuk membeli Processor yang baru.


Sekian Terima Kasih....

Ahad, 10 September 2017

Nucleus 6 processor dan kelebihannya berbanding Nucleus 5.

Salam semua pembaca.Bagaimana dengan hari anda?Semoga kesemuanya berjalan lancar.Pada hari ini saya ingin menulis review mengenai Nucleus 6 Processor serta kelebihannya berbanding Nucleus 5.Diharap penulisan ini dapat membantu mereka membantu mereka yang akan menerima nucleus 6.

Nucleus 6

Nucleus 6 Processor




Processor Nucleus 6 ini adalah lanjutan dari abangnya Nucleus 5.Ianya dikeluarkan pada tahun 2015 dan merupakan alatan baru yang direka semula.Diantara kelebihannya ialah lebih kecil dan ringan daripada abangnya nucleus 5.

Selain itu,Nucleus 6 menggunakan cip processor baharu yang lebih laju,kecil dan termoden.Cip ini beroperasi 5 kali ganda kelajuan daripada nucleus 5.Ini merupakan satu kelebihan yang sangat besar.Dengan cip ini,membolehkan processor direka lebih kecil dan berfungsi secara automatik di dalam penukaran program.

Sebagai contoh Processor Nucleus 5 sekiranya hendak menukar program harus dilakukan secara manual sama ada menekan butang pada processor atau pada remote control.Namun dengan Nucleus 6 ,Processor anda sendiri menukar program secara automatik tanpa perlu di tekan.Biar saya beri contoh semasa anda berada di tempat bising,processor anda berada pada mod program tempat bising,kemudian secara tiba-tiba anda hendak menjawab panggilan telifon.Maka anda tidak perlu menukar mod program processor anda.Hanya jawab panggilan telifon seperti biasa dan secara automatik tanpa berbuat apa-apa program pada processor anda bertukar.

Ini satu kelebihan yang sangat ketara kerana ianya sangat cekap dan efisen.Bagi pemakai kanak-kanak,mereka tidak peka dan tidak pandai menukar program.Ini sangat merugikan kerana setiap program direka untuk mendengar pada keadaan dan situasi yang berbeza.Namun dengan Nucleus 6,para ibu bapa tidak perlu bimbang kerana processor sendiri berkebolehan BERFIKIR dan menukar program secara automatik.

Teknologi Bluetooth

Nucleus 6 juga adalah yang pertama mengunakan teknologi Bluetooth.Ini membolehkan pemakai menjawab panggilan pada telifon atau mendengar lagu,video pada telifon anda melalui bluetooth.Satu kelebihan yang sangat berguna kerana kualiti bunyi yang di dengari sangat jelas dan tidak bercampur.

aksesori nucleus 6 yang membolehkan teknologi bluetooth
Selain itu,teknologi ini membolehkan anda mendengar suara penceramah atau guru anda dari jauh dan sangat jelas.Anda harus memiliki 2 aksesori ini untuk membolehkan anda berkomunikasi dengan pintar pada guru atau penceramah anda.Semasa anda menggunakan ini,satu dipasang pada anda dan satu dipasang pada penceramah atau guru anda.Alat ini harus digantung pada baju anda.Usah risau kerana ianya telah tersedia klip,sangat ringan dan mampu menangkap bunyi suara anda .

Bunyi yang di dengari sangat jelas,ibarat anda bercakap dan mendengar secara berhadapan walaupun orang yang anda dengari suaranya berada ditempat yang jauh.Namun ada batasan jarak yang membolehkan bluetooth ini beroperasi .Selagi anda berada di dalam lingkungan jarak itu,bunyi yang di dengari sangat jelas.Usah risau..

Alat ini juga boleh letakkan di tv,atau disambung bluetooth pada peranti anda seperti tab,handphone.Ini membolehkan anda menawab panggilan,mendengar muzik atau menonton video secara jelas dan clear.Sekiranya anda mengetahui mengenai bluetooth,anda seharusnya tahu ianya tidak menggunakan sebarang wayar untuk menyambungkan peranti.Alat ini menggunakan bateri yang boleh di cas semula.

Bateri yang tahan lebih lama

Nucleus 6 juga menggukan bateri baru yang tahan lebih lama dari Nucleus .Terima kasih pada cip baharu yang berkerja 5 kali ganda lebih pantas,membolehkan penjimatan tenaga dapat di aplikasikan. Masih menggunakan bateri recharge dan juga pakai buang.

Kalis air

Air adalah musuh utama processor anda selain habuk dan bendasing.Air datang dari peluh pemakai,terkena hujan atau keadaan lain.Namun Nucleus 6 telah memperkenalkan kaedah baru untuk menangani masalah ini.Malah anda boleh berenang di dalam kolam mandi atau memakainya semasa mandi tanpa membukanya.Kesemuanya dengan water Protection ini.

aksesori yang melindungi processor daripada air dan habuk.

Kepelbagaian aksesori dan berwarna warni

Terdapat pelbagai warna dan corak yang boleh disesuaikan dengan Processor ini.Secara tidak langsung memberi imej dan identiti yang berbeza serta aura tersendiri.Namun kesemuanya dijual berasingan dan harus dibeli.Harganya uga bukan murah.Namun sekiranya mampu bolehlah dibeli untuk simpanan.



4 pilihan warna Processor





Untuk makluman lanjut,anda boleh melihat laman web pengeluarnya.

 http://www.cochlear.com/wps/wcm/connect/au/home/discover/cochlear-implants/the-nucleus-6-system/nucleus-6-sound-processor


Sekian,Sharing is Caring

Sabtu, 9 September 2017

Pengenalan bahagian-bahagian Processor Implan Koklea

Salam semua.Tujuan saya menulis pada kali ini ialah untuk menerangkan bahagian-bahagian penting di dalam Processor Implan Koklea.Bagi mereka yang telah lama memakai sudah tentu mengetahui fungsi-fungsinya,jadi penulisan kali ini lebih menumpu kepada individu baharu yang akan menjalani pembedahan Implan Koklea.

Penulisan pada kali ini hanya menerangkan bahagian dan fungsi Processor Implan Koklea Nucleus 5 iaitu yang dipakai penulis.Sehingga hari penulisan ini ditulis,model baharu telah dikeluarkan iaitu Nucleus 6 dan Nucleus 7.Namun hampir kesemua bahagian ini sama fungsinya.

Processor Nucleus 5 yang lengkap

Bahagian-bahagian penting Processor Implan Koklea terdiri dari Processor,Coil,Coil Cable dan Bateri.

Processor

Proccessor adalah bahagian paling penting dan termahal.sekitar rm15 ribu termasuk GST

Ini merupakan jantung utama Implan Koklea.Processor berfungsi menerima bunyi kemudian memproses dan menghantar bunyi yang telah diterjemah kepada implan koklea di dalam kepala.Pada bahagian ini terdapat 2 butang iaitu butang ON/OFF serta butang setting Program.Fungsi butang setting Program ini ialah menukar program pada Processor untuk mendapatkan bunyi yg lebih jelas.Umum di dalam Processor terdapat 4 program iaitu Program di tempat bising,Program mendengar muzik dan 2 program biasa untuk berkomunikasi.Untuk menukar Program,pemakai harus menekan pada butang setting program pada processor.

Pemakai harus peka dan tahu bila masanya untuk menukar program mereka.Ini kerana sekiranya program yang digunakan tidak sesuai,pemakai berkemungkinan tidak dapat mendengar dengan jelas.Contohnya Pemakai memakai program untuk muzik di tempat bising,maka bunyi yang didengari tidak jelas dan kurang.

Pada bahagian ini juga terdapat lampu yang akan berkelip.Fungsi lampu ini ialah untuk memberitahu program apa yang digunakan pemakai.Contohnya kalau pemakai menukar Program 1,maka satu kerlipan.Kemudian sekiranya pemakai menukar Program 2,maka 2 kerlipan.Ini ialah fungsi asas.Pemakai tidak boleh terus melangkau program.Contohnya program 1 terus ke 4.Pemakai harus menukar program ke program2,3 kemudian 4.

Namun dengan menggunakan Remote yang dibekalkan,pemakai boleh terus melangkau program tanpa menekan butang pada Processor.Ini sangat memudahkan.Fungsi lain remote ini akan saya terangkan kem udian.


 
butang bulat berwarna krom yang pertama di atas(bawah Mic1) adalah butang ON/OFF manakala butang di bawah mic 2 adalah butang menukar program

Mic 1 dan Mic 2 adalah 2 lubang untuk menangkap bunyi dan kemudian menghantar ke dalam processor untuk diproses.Mic ini dilindungi dengan sejenis lapisan pelindung seperti kain kasa yang dipanggil Microfon Protector.Microfon Protector melindungi lubang mic daripada dimasuki bendasing asing seperti habuk,batu serta air.Ini kerana bendasing asing ini mampu merosakkan processor.Microfon protestor ini harus ditukar setiap 2 ,3 bulan sekali bergantung kepada pemakai,Faktor persekitaran,berpeluh menyumbang kepada kekerapan untuk menukar Microfon protector ini.Ini kerana Microfon ini juga sekiranya tidak ditukar akan mengurangkan keberkesan bunyi yang diterima(kerana microfon protector kotor).Harga untuk menukar Microfon ini ialah rm80 untuk sekali tukar.
microfon protector
Coil

Coil berfungsi menghantar bunyi yang telah diproses oleh processor terus ke dalam implan koklea di dalam telinga pemakai.Coil ini dilekatkan di kepala dengan menggunakan magnet.Ini kerana implan koklea yang ditanam di dalam kepala pemakai mengandungi besi,jadi dengan menggunakan magnet,maka coil ini akan stabil dan tidak berubah tempat.Ini satu kelebihan kerana ianya tidak meninggalkan kesan dan mudah dipakai dan dibuka.Coil biasanya tahan lama sehingga 2-3 tahun bergantung kepada pemakai.Harga bagi menukar Coil ini ialah di antara rm500-550 termasuk GST.

coil magnet untuk melekatkan Coil pada telinga

Cable Coil

Coil cable dengan kepanjangan berbeza
Coil Cable ini berfungsi menyambungkan Processor dengan Coil.Ini serupa seperti wayar.Terdapat kepanjangan berbeza untuk disesuaikan dengan pemakai.Namun biasanya pemakai mendapat hanya 2 sahaja Coil Cable ini  dengan kepanjangan standard.Kelemahan Coil ini ialah ianya sangat mudah rosak,serta terbelit.Harga bagi membeli Coil Cable ini ialah rm280-300 termasuk GST.

Bateri

Terdapat 2 jenis bateri iaitu bateri recharge dan bateri pakai buang.Maing-masing ada kelemahan dan keburukannya.

bateri recharge
Bateri ini boleh dicas berulang kali dan tahan sehingga 10jam penggunaannya.Ianya sangat menjimatkan kerana tidak perlu membeli yang baru.Selain itu kuasa(power) bagi bateri ini adalah besar yang mana membolehkan bunyi yang di dengari lebih kuat.Keburukannnya ialah ianya mengambil masa sehingga 8 jam untuk dicas penuh dan kos bagi menukar yang baharu sangat mahal iaitu rm980-1200 termasuk GST. Bateri ini tahan selama setahun malah mapu tahan 2 tahan le bih bergantung kerada pemakaiannya.Satu lagi kelemahan bateri ini ialah ialah ia sangat sensitif pada 3 point (jarum ) yang terdapat pada bateri.Jarum ini sangat rapuh dan mudah patah sekiranya tidak dikendalikan dengan cermat dan betul.Tiada pembaikan lagi yang boleh dibuat kecuali membeli yang baharu.


Ini adalah bateri pakai buang,namun tujuan saya meletak di sini ialah untuk memaparkan 3 jarum yang saya katakan itu.perhatikan pada bahagian berwarna gelap,pada dalam bulatan terdapat 3 jarum.Jarum inilah yang saya maksudkan sangat rapuh dan mudah patah.

Bateri kedua ialah bateri pakai buang.Gambarnya telah saya paparkan di atas.Namun jangan pula fikir setelah dipakai seluruh bahagian dibuang.Yang dimaksudkan dibuang itu hanya baterinya.Ianya menggunakan bateri seperti hearing aid ,2 biji sekali guna dan dimasukkan kedalam bateri seperti di dalam gambar.Keburukan bateri ini ialah ianya tidak tahan lama sekitar 3,4 jam dan kuasa bunyinya yang kurang.Selain itu kos bagi membeli ialah sekitar rm 80 satu set yang terdapat 12 bateri.


Kesemua bahagian ini sekiranya di beli baharu diberi jaminan warantti selama setahun.Jadi sekiranya rosak sebelum tempoh boleh ditukar yang baharu.

sekian,Sharing is Caring....

Ahad, 20 Ogos 2017

Kesan GST kepada penerima Implan

Assalamualaikum semua.Bagaimana dengan hari anda.Saya ingin menulis mengenai kesan GST pada penerima Implan.Umumnya mengetahui yang GST ini adalah cukai barangan yang diwajibkan oleh Kerajaan Malaysia kepada kesemua warga malaysia.Cukai ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara,menghapuskan sistem lama yang dikatakan berat sebelah dan mewujudkan sistem yang adil.

Namun GST ini semakin besar nilai barangan,semakin besar cukai yang perlu dibayar.Ini sangat membebankan kerana kos barangan alat ganti Processor adalah tinggi.Contohnya untuk menukar cable processor kosnya adalah sebanyak RM280 termasuk Gst,Bateri RM980 termasuk GST dan lain lagi.Malah insuran tahunan untuk Processor juga dikenakan GST.

Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan yang barangan perubatan akan dikecualikan dari Cukai GST.Namun sehingga ke hari ini,pengecualian itu hanya pada bidang yang kritikal sahaja.Saya berharap sekiranya ada diantara peneriman implan yang sanggup membuat petisyen bertandatangan menyokong pengecualian Cukai GST bagi pembelian barangan ganti processor kami.

Sekian Terima Kasih....

Recycle coil nucleus 5 anda!

Assalamualaikum...setelah lama menyepi diri dari menulis dan berkongsi pengalaman mengenai implan koklea,saya terpanggil untuk menulis serba sedikit mengenai coil implan anda.Saya yakin dalam setahun pasti kesemua penerima implan koklea terpaksa menyediakan peruntukkan yang besar untuk kos membeli barang ganti serta insuran tahunan processor anda.Sedia maklum yang kosnya bukanlah murah dan seringkali memeningkan kepala.Termasuk saya juga.

Baru-baru ini Coil Procesor saya telah mengalami kerosakan.Apabila saya menghidupkan Processor saya,lampu ON yang berwarna kuning menyala,namun apabila saya melekatkan Coil pada kepala,kedengaran bunyi yang pelik seperti tersangkut-sangkut.Bunyinya seperti ada orang yang membuka dan menutup Speaker pada selang masa yang terdekat.


Coil Processor saya

Ini sangat mengganggu kehidupan saya seharian.Apabila saya memberitahu masalah ini kepada Mr Alan (dealer spare part Processor), beliau mengesyaki Wayar Cable saya yang bermasalah.Saya pun bertindak menukar wayar Cable saya dan kemudian masalah ini pun selesai.Namun ianya tidak lama dan berulang kembali.

Semasa tengah buntu memikirkan masalah ini kerana pada waktu itu saya baru sahaja membelanjakan wang membeli bateri baru,dan sekiranya cable ini rosak adakah perlu saya membeli lagi.(Satu tabiat saya ialah membeli barang ganti namun hanya menggunakannya hanya setelah barang sedia ada rosak dan tidak boleh dipakai lagi).Ini sangat merugikan kerana setiap alat ganti hanya diberi jaminan waranti selama setahun sahaja oleh Dealer.Pada waktu itulah tiba-tiba saya teringatkan alat ganti lama saya yang masih saya simpan lagi.

Apabila saya menukar wayar processor saya,walaupun dengan wayar lama yang lain,masalah bunyi yang tersangkut-sangkut masih kedengaran.Disamping itu warna kuning yang berkelip-kelip menyala.Jadi saya pun berfikir berkemungkinan ianya masalah lain.Jadi saya pun menukar Coil saya kepada Coil lama yang telah rosak.Hasilnya menakjubkan.Masalah saya terus hilang begitu saja.

Inilah rupa Coil Processor lama saya


3 Coil saya yang mana 2 teratas adalah lama

Jadi nasihat saya kepada penerima Implan koklea,sekiranya alat ganti Processor anda mengalami kerosakan,Cuba dahulu menukarnya kepada alat ganti lama anda yang anda telah melabelkannya rosak.Mana tahu ianya masih boleh digunakan lagi..Selamat berjaya...

Selasa, 6 Disember 2016

Recycle alat CI anda?

Salam semua.Apa khabar.Ini merupakan post terbaru saya setelah lama berhenti menulis.Ini kerana selain kekangan kerja lebih masa di sebuah restoren pada waktu malam,saya juga kekeringan idea untuk menulis mengenai Implan koklea dan alat-alatnya.

Namun baru-baru ini cable coil Ci Nucleus 5 saya telah mengalami kerosakan.Tanda-tanda kerosakan kabel Nucleus 5 ialah seperti dibawah
  1. Lampu berwarna kuning menyala berkelip-kelip setelah switch on
  2. Remote control memberi amaran "CANNOT DETECT" Ci anda
  3. Semasa memakai Ci,anda akan mendengar bunyi seperti tersangkut-sangkut atau seperti on off on off.Itu petanda awal Cabel Coil anda mula rosak.
Kos bagi menukar Coil Cable Nucleus 5 ialah sebanyak RM280 termasuk GST(GST sesuatu yang tidak digemari saya kerana membebankan).


Namun setelah saya berfikir banyak kali mengenai kos yang diambil,entah mengapa saya terfikir mengenai coil cable lama yang dilabelkan ROSAK oleh saya.Untuk makluman,saya telah memiliki 3 Coil cable sebelum ini,namun telah rosak kerana tidak dapat detect dengan Ci.Saya telah mencuba memasang Coil lama ini kepada Ci saya dan hasilnya ianya berfungsi.Ketiga-tiga Coil lama saya BERFUNGSI dengan baik.

Ini menggembirakan saya kerana sedia maklum akan kos menukar cable baharu yang tinggi.Coil Cable lama ini mampu berfungsi dengan baik seperti biasa cuma bila berlaku keadaan berikut,ianya gagal berfungsi.

  1. Cuaca panas dan anak banyak berpeluh.Coil lama ini sudah longgaqr dan tidak kuat melekap dan membolehkan air peluh meresap masuk.
  2. Apabila anak terkena hujan atau basah
  3. Coil cable longgar kerana pengerakan kulit kepala(memang sedia maklum yang coil cable ini sudah longgar).          
 Namun terdapat cara mengatasinya sekaligus membolehkan kita berjimat sementara menanti cukup duit membeli coil cable yang baru.Caranya ialah mengeringkannya di dalam Zephry atau membawa 2,3 coil Cable lama sebagai tambahan.Contohnya jika tengah menggunakannya tiba-tiba rosak,bolehlah menggunakan Coil lama tambahan tadi.Satu lagi petua menggunakan Coil ini ialah menekan bahagian hujung Coil Cable yg bercantum dengan Ci anda.Ini kerana sambungan telah longgar dan dengan menekannya,ianya akan bersambung semula.Cara ini hanya berkesan jika alat Ci anda tiba-tiba off walaupun anda tahu ianya tidak basah atau berpeluh.

Selain itu,Coil lama juga masih boleh digunakan tanpa sebarang masalah.Saya telah menggunakannya dan sehingga sekarang tiada masalah.


Sekian,Sharing is Caring.Diharap perkongsian maklumat ini dapat membantu ibu bapa atau mereka yang menggunakan Nucleus 5 untuk bertahan seketika sementara mengumpul wang membeli Coil Cable serta Ciol yang baru.Sekian.....

Isnin, 17 Februari 2014

Bila saya tidak memakai Hearing Aid lagi....

As salam semua.Baru-baru ini acuan telinga Hearing Aid saya terasa longgar sehingga sering mengeluarkan bunyi bising.Ini menanggu pendengaran saya.Namun saya agak sibuk di dalam pekerjaan saya dan tidak memiliki masa untuk memperbaiki atau membuat Acuan yang baru.Jadi agak lama juga saya tidak memakai hearing Aid saya.

Namun selepas tidak memakai hearing Aid agak lama,saya rasa semakin selesa dengan Ci implan saya.Saya dapat merasakan PERBEZAAN mendengar yang besar tanpa Hearing Aid.Ini kerana telinga saya yang memakai hearing Aid,apabila saya tidak memakainya,saya tidak mendengar apa-apa bunyi pun.Oleh itu,kerana agak lama tidak memakai hearing Aid,telinga yang memakai CI mula mengambil alih Fungsi telinga sebelah dan semakin peka dan sensitif kepada bunyi.

Hasilnya saya sudah semakin dapat menelifon segelintir kawan-kawan saya.Saya dapat rasakan perbezaannya di dalam kejelasan di dalam percakapan mereka.Alhamdulillah syukur saya ucapkan kepada ALLAH Kerana memberi saya peluang untuk mendengar semula.

Kepada ibu bapa diluar sana,setiap manusia di lahirkan dengan kemampuan dan kebolehan yang berbeza.Bertawakkallah kepada ALLAH semoga anak-anak saudara dan saudari mampu mendengar dan bertutur seperti saya.

Sekian....





Rabu, 27 November 2013

Kucing Bionic pertama di dunia

As salam semua.Di sini saya ingin berkongsi mengenai seekor kucing yang layak di gelar "Kucing Bionic yang pertama di dunia".Tidak banyak info mengenainya yang ditulis,namun bagi saya ianya amat menarik untuk dikongsi bersama.





Inilah dia kucing pertama yang memakai implan koklear.Kucing ini dilahirkan pekak dan terpilih untuk menjadi subjek kajian di dalam memahami bagaimana implan koklea berfungsi dan bagaimanakah otaknya menyesuaikan diri dengan implan koklea..Setelah dibedah,kucing ini mula memberi respon apabila dipanggil seolah-olah memberi isyarat bahawa dirinya sudah boleh mendengar

Selepas 3 bulan kucing ini dibedah,para doktor mendapati bahawa sinaps(saluran yang menghantar impuls maklumat ke otak pada deria pendengaran kucing ini telah menyamai kucing normal yang lain.Ini sekaligus membuktikan bahawa mereka yang dibedah sejak awal lagi semasa kecil,kemungkinan mereka untuk mendengar secara normal semakin tinggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai kucing ini,para pembaca boleh melayari laman web ini RYUGO LABS

 Sekian,Sharing is Caring.



p/s-Kepada ibu bapa di luar atau kepada mereka yang menerima implan koklea,Usah berputus asa sekiranya anda masih belum dapat menyesuaikan diri dengan implan koklea anda.Maksud menyesuaikan diri di sini ialah MAMPU MENDENGAR tanpa melihat bibir atau wajah si pemanggil.Usaha yang keras dan berterusan pasti akan berjaya.Anda tentu tidak mahu KALAH pada seekor kucing bukan?



Khamis, 17 Oktober 2013

FAKTA atau MITOS-Semakin lama mendengar semakin baik pendengaran anda

Assalamualaikum....

Apa khabar.Saya ingin berkongsi tips sekali lagi mengenai tajuk di atas.Adakah FAKTA atau MITOS bahawa sekiranya anak anda semakin lama mendengar menggunakan alat CI mereka,mereka akan semakin bagus dan semakin baik tahap pendengarannya.




Jawapannya ialah YA dan TIDAK.

YA-

  1. jawapan YA hanyalah pada mereka yang sebelum ini pernah mendengar atau satu ketika dahulu memiliki pengalaman mendengar.Ini kerana di dalam otak mereka telah tersimpan maklumat dan pengalaman mendengar itu.tanpa di ajar,semakin lama mereka memakai alat CI mereka,mereka akan semakin bagus di dalam mendengar
  2. Bagi mereka yang dilahirkan pekak dan tidak pernah mendengar,dengan latihan dan bimbingan yang berterusan dari ibu bapa dan audio terapi,anak anda masih boleh mencapai tahap seperti mereka yang pernah memiliki pengalaman mendengar.Namun ianya sangat lambat dan seperti yang pernah saya katakan,mendengar seperti satu proses pembelajaran yang memenatkan otak.
  3. Semakin lama mereka mendengar,otak mereka akan semakin penat.berikan mereka sedikit masa berehat seketika sebelum meneruskan pembelajaran mereka.
TIDAK

  1. Jawapan tidak hanya pada mereka yang dilahirkan pekak.Ini kerana di dalam otak mereka tiada sebarang maklumat mengenai bunyi,kepelbagaian bunyi dan sebagainya.OTAK mereka ini memerlukan RANGSANGAN berupa BUNYI,LATIHAN MATA DAN PENDENGARAN dan USAHA.
  2. Tahukah anda bahawa apabila kita masih bayi,otak kita akan membina saluran-saluran yang berfungsi untuk mengenal bunyi,menempatkannya dan sebagainya.Semakin kita meningkat usia,semakin banyak saluran itu.Sama juga seperti semakin kita banyak membaca dan berfikir,otak kita akan semakin membina banyak saluran untuk menempatkan ilmu itu.Begitu juga dengan pendengaran.



 Sharing is caring......

Tips mengatasi malu pada anak

Assalamualaikum semua.Kembali semula kita hari ini.Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk menulis lagi di ruangan saya ini.

Di sini saya ingin menanya para ibu bapa satu soalan,Adakah anak anda MALU untuk memakai alat CI mereka?Jika jawapannya ya,maka disini saya sertakan sedikit tips dan satu cerita dari pengalaman saya.Mudah-mudahan ianya dapat membantu para ibu bapa...






Tips mengatasi perasaan malu pada anak
  1. Jika anak malu untuk memakai Alat CI mereka,dapatkan jawapan dari mereka KENAPA mereka malu untuk memakai alat CI mereka.PANDANG mata anak anda,anda akan dapati anak anda akan memberi seribu satu alasan,namun alasan yang sebenarnya ialah mereka malu orang lain disekeliling mereka memandang mereka.
  2. Jika anak anda malu dan memberi seribu satu alasan,bawa anak anda keluar berjalan-jalan di tempat yang ramai orang.Biar anak memakai alat CI mereka.Katakan pada anak,ADAKAH orang di sekeliling mereka memandang anak anda?Jawapannya ialah tidak,orang disekeliling tidak seorang pun yang memandang anak anda.Jadi anda harus berkata pada anak bahawa orang disekeliling langsung tidak memandang anak anda malah tidak memperdulikannya,jadi untuk apa mereka harus MALU?
  3. Jika anak anda masih malu walaupun diberi jawapan itu,maka anda harus BERTEGAS dengan anak anda.Bagi anak yang belum bersekolah,sudah tentu boleh dipantau,namun bagaimana dengan anak yang sudah bersekolah?Ramai di antara anak-anak ini yang sebelum ke sekolah memakai alat CI mereka dihadapan ibu bapa mereka.namun menanggalkannya apabila tiba ke sekolah.
  4. TINDAKAN ANDA-Dapatkan no telifon guru anak anda,beritahu guru untuk memberitahu sekiranya anak tidak memakai alat CI mereka.Tahukah anda bahawa anak akan memberi alasan seperti tertinggal alat itu,alat rosak,dan lain-lain lagi kepada guru.Jadi beritahu guru bahawa jangan mempercayai sebarang alasan anak,sekiranya perlu minta guru telifon anda untuk menanya kebenaran.
  5. Sekiranya anda ada sedikit kesempatan,lakukan SPOTCHECK.Buat lawatan mengejut di kelas anak anda,namun sebelum itu beritahu guru anak anda dahulu.Ini kerana anak tidak akan menyangka bahawa anda akan bertindak begitu.Lakukan 2,3 kali insyaALLAH selepas itu anak akan terus memakai alat CI itu
  6. Minta anak duduk di HADAPAN kelas.Keberkesanan alat CI adalah paling MAKSIMUM di hadapan sekali.Tahukah anda bahawa anak anda di dalam proses pembelajaran,maka dengan duduk di hadapan kelas anak anda akan dapat mendengar suara guru dengan lebih jelas malah mendapat perhatian yang lebih dari guru?
  7. Di sekolah.penyebab utama anak anda malu memakai alat CI mereka ialah kerana ejekan rakan-rakan.Kadang-kadang anak anda dibuli oleh pelajar ini.Sebagai ibu bapa anda harus memaksa anak memberitahu siapakah yang membuli anak anda,dan anda harus berjumpa dengan pelajar itu dan memberinya nasihat.LAKUKAN apa sahaja yang perlu seperti memberi amaran akan memberitahu perbuatannya pada ibu bapanya atau pada pengetua sekolah.TUGAS dan TANGGUNGJAWAB anda ialah melindungi anak anda.Lakukan tugas anda.
Sebenarnya anak anda hanya perlukan SAAT untuk memberanikan dirinya memakai alat CI itu.Andalah yang harus bertegas dan membimbingnya.Kadang-kadang keberanian itu datangnya dari ketegasan ibu bapa.

Dibawah saya sertakan satu kes yang saya berjaya selesaikan.

Ada seorang pelajar,umurnya baru 13 tahun.Pelajar ini sebelum ini Normal dan lasak,namun malang menimpanya.Setahun sebelum ini dia telah mengalami demam panas dan dirawat di wad sebuah hospital selama 10 hari.Apabila sembuh,Doktor yang merawatnya mendapati pendengaran pelajar ini terjejas teruk.Telinga kirinya sudah tidak boleh mendengar dan telinga kanannya hanya mampu mendengar sedikit bunyi sahaja.

Kesnya dirujuk di Hospital kerajaan yang memiliki kepakaran di dalam bidang ini.Dalam kesnya,Pelajar ini telah diberi peluang untuk mendapatkan IMPLAN KOKLEA.Ini kerana tempohnya hilang pendengaran adalah masih baru,setahun jaraknya.Sebagai tempoh percubaan sebelum pembedahan implan koklea,pelajar ini telah diminta untuk memakai alat bantu pendengaran(hearing aids) pada kedua telinga.

Namun pelajar ini telah mengalami Sindrom MALU seperti yang saya sebutkan.Maka saya telah menolong pelajar ini dengan kesemua tips yang saya berikan.Alhamdulilah pelajar ini semakin hari semakin berani untuk memakai alat CI-nya tanpa menghiraukan ejekan rakan-rakan.Anak anda jua BOLEH begitu.ANDALAH YANG MENENTUKANNYA....


Sekian,Caring Is Sharing...

Sabtu, 9 Februari 2013

Kaitan Mapping dengan jangka hayat bateri

Salam semua.Di sini saya ingin kongsikan satu tips yang saya dapati apabila melayari forum mengenai Nucleus 5.Forum ini berasal dari luar negara.



Tahukah anda bahawa setiap kali kita mapping jangka hayat bateri juga turut berubah.Semakin kita mapping,Kekuatan Volume semakin meningkat.Ini bermakna bahawa lebih banyak lagi tenaga diperlukan dari biasa.

Selain itu,menukar-nukar program juga turut mempengaruhi jangka hayat bateri.Ada program yang bunyinya lebih kuat,ada proram untuk mendengar bunyi pada suasana bising atau senyap,atau program mendengar muzik dan telifon.Kesemua ini membabitkan jumlah penggunaan tenaga yang berbeza.


Sekian,terima kasih...

Sharing is Caring



Mohammed.Najib Ibrahim

Tips mengatasi masalah Rechargeable bateri

Salam semua.Disini saya ingin kongsikan mengenai tips sekiranya kita menghadapi masalah dengan rechargeable bateri kita.Di antara salah satu masalah yang paling kerap berlaku apabila kita ingin mengecas bateri kita,lampu pada soket bateri berkelip-kelip.




Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada soket sehinga ianya tidak boleh digunakan.Disini saya kongsikan tips yang amat mudah dari saya.Caranya ianya mengelap soket itu dengan kertas tisu yang bersih dan kering atau tiup sahaja dengan angin.Amat mudah.Alhamdulillah selepas dilap lampu tidak berkelip-kelip dan boleh digunakan.

Sekian,Sharing is Caring....


Mohammed.Najib Ibrahim

Isnin, 7 Januari 2013

Aksesori paling berguna untuk Penerima implan

Salam semua.Saya ingin berkongsi mengenai satu aksesori yang amat berguna untuk penerima implan.Mendengar radio,menjawab telifon,mendengar muzik permain video games atau menonton video dari PC amat mudah dengan aksesori ini.Aksesori ini memang disediakan bersama kit implan,cuma mungkin ada diantara ibu bapa yang tidak mengetahuinya.

Aksesori itu ialah personal audio cabel serta monitor earphone.

personel audio cable

plug and hear

 Menggunakan kedua-dua aksesori ini amat mudah.Seperti plug and hear.Tidak memerlukan setting.Anda boleh menggunakan satu atau kedua-duanya sekali.Namun saya lebih senang mengunakan Personal audio cabel untuk mendengar radio,menjawab telifon atau mendengar muzik.Bunyi yang didengari amat jelas,seperti anda mendengar bunyi melalui earphone.Jadi peratusan untuk penerima inplan memahami apa yang diperkatakan,mengecam bunyi meningkat.Pasangkan pada CI anak,kemudian hujung yang satu lagi ke Telifon,PC atau PSP.Mudah bukan?

monitor earphone


Alat ini juga boleh menjadi alat bantu mengajar anak.Muatlah turun Video atau apa-apa berkaitan pembelajaran,kemudian pasankan alat ini.Sekian....


Sharing is Caring


Mohammed.Najib Ibrahim

Ahad, 23 Disember 2012

cara mendengar radio bagi penerima implan



Salam semua.Saya ingin berkongsi mengenai satu cara bagaimana kita hendak mendengar radio.Malah ianya juga merupakan satu latihan yang baik kerana kita dapat mempelajari perkataan.Namun ianya tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana perbendaharaan kata mereka masih sedikit dan kurang.



Cara bagi mendengar radio ialah memilih saluran yang NADA SUARANYA MEMBOSANKAN.Maksud saya ialah Nada suara mendatar,jelas serta tidak terlalu cepat.Contoh saluran radio ini ialah IKIM.Nada suara penyampainya mendatar, jelas dan tidak terlalu cepat.Ini membuatkan otak saya mampu memproses maklumat seterusnya memahami apa yang diperkatakan.


Namun bukanlah bermakna saya mampu mendengar kesemua perkataan atau semua yang diperkatakan.Saya hanya mampu mentafsirkan hanya 45% perkataan sahaja(Ikut perkiraan matematik saya).Namun sebelum pembedahan implan koklea,saya sudah banyak kali cuba mendengar radio namun sepatah perkataan pun tidak saya fahami.


Namun taktik ini ada satu kelemahan.Kelemahannya ialah ianya hanya berkesan di dalam suasana senyap dan tidak terlalu bising.Ini memang merupakan kelemahan paling ketara bagi penerima implan koklea.
Sekian,selamat mencuba.....

Selasa, 4 Disember 2012

Water Protection untuk CI

Salam semua.Sekali lagi saya ingin berkongsi mengenai perkara baru.Kali ini ingin mengenai Water protection untuk CI.Protection ini baru sahaja keluar di pasaran,direka untuk melindungi processcor kita daipada air.Tujuan UTAMAnya ialah untuk berenang atau mandi di laut.Tidak kira Air masin atau Air Tawar.Itulah yang diberitahu saya oleh Mr.Alan semasa Prosij tempoh hari.




Water Protection ini menutupi keseluruhan Processor kita serta kedap udara.Harganya jika dibeli 1 Keping RM10,Namun Mr.Alan menasihatkan kita membeli 1 kotak kerana jauh lebih jimat.1 kotak ada  5 keping.Harganya Maaf saya sudah lupa namun dibawah RM50.

Sharing is caring...

Ahad, 2 Disember 2012

Tips Penjagaan CI yang betul

Salam semua.Pada 1HB Disember yang lalu,saya telah menghadiri majlis anjuran Hospital Ismail.Majlis itu bernama "Riang Ria Procij".Majlis ini juga turut dihadiri oleh wakil pengedar Implan koklea seperti MED-EL,LABCHEM dan Cochlear.com.



Tujuan majlis ini adalah untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman diantara para doktor pakar,pengedar CI dan Ibu bapa.Banyak ilmu yang berguna telah diperolehi semasa majlis ini berlangsung.Saya telah mengambil kesempatan ini untuk MENYOAL-SIASAT pengedar CI saya iaitu EN.Alan.




Dibawah saya kongsikan segala apa yang saya perolehi semasa SOAL SIASAT itu.

  • CI TIDAK MEMERLUKAN SERVIS ATAU PENYELENGGARAAN SEPERTI HEARING AID.Ini kerana ianya dicipta untuk kegunaan jangka panjang serta bersifat tahan lasak.Namun ianya memerlukan PENJAGAAN yang rapi seperti sentiasa mengelapnya,memastikan ianya kering dan tidak terjatuh
  • JIKA CI ROSAK,IANYA AKAN DIPERIKSA DULU OLEH PAKAR.Jika boleh diperbaiki,ianya tidak mahal.Namun jika ianya tidak boleh diperbaiki,jawapannya ialah mendapatkan yang baru.
  • Ibu bapa kena prihatin tentang CI anak.Jangan menunggu sehingga sudah rosak baru hendak dihantar untuk diperbaiki.Ini kerana ianya akan menambahkan kos serta memungkinkan CI anak anda tidak dapat diperbaiki.Selain itu masa menunggu juga agak lama sekitar2,3 bulan.
  • Jika CI rosak serta tidak dapat diperbaiki,cuba berbincang dengan pihak hospital yang menjalankan pembedahan itu.Ini kerana biasanya terdapat tabung khas untuk penerima implan.
  • PETUA UNTUK MEMASTIKAN BATERI CAS TAHAN LAMA IALAH DENGAN MENGELAKKAN IANYA KOSONG.Maksudnya kita mesti mengelakkan bateri kita kehabisan kuasa baru hendak dicas kerana ianya akan mengurangkan jangka hayat bateri itu.Pastikan bateri berada diparas 1 bar baru dicas.
  • SETIAP 6 BULAN SEKALI bersihkan dengan rapi CI anda.Buka kesemuanya seperi microfon,coil,processor,magnet lain-lain.Ambil sehelai tisu dan lap bersih-bersih terutamanya dicelah-celah yang tersembunyi.Jika tidak pasti bagaimana cara membukanya,rujuk buku panduan.
  • COIL yang menyambungkan processor sekiranya ingin dibuka,JANGAN DIPUSING-PUSING UNTUK DIBUKA.hanya TARIK TERUS.Sekiranya dipusing-pusing ianya akan merosakkan CI anda.
  • Wayar pengecas bateri jangan dicabut dan disimpan selepas digunakan.Biarkan sahaja ianya berada di dalam pengecas.Ini kerana apabila anda buka-cabut,buka-cabut banyak kali,wayarnya akan rosak.
  • Anda mungkin boleh mendapatkan ganti wayar yang sama Voltannya di kedai,namun perlu berhati-hati kerana sekiranya Voltannya kurang atau terlebih(walaupun tertulis jelas voltannya),Alat pengecas anda akan rosak.Lebih terus bateri pengecas juga turut rosak.Kos untuk memantikan dan mendapatkan yang baru alat pengecas ialah RM400 Manakala bateri pengecas sekitar RM700.
  • Silica gel boleh disimpam di dalam stoking bayi,kantung bunga telur atau apa-apa mengikut imaginasi anda.Ianya boleh digunakan di dalam Zephry anak anda.
  • Dengan perubahan teknologi,CI juga semakin maju.CI yang lama akan dihentikan pengeluarannya serta alat gantinya.Sebagai contoh CI tahun 2012(tapi sekarang tahun 2020),maka kerana CI tahun itu (2020) sudah maju,maka alat ganti bagi CI tahun 2012 akan dihentikan.Ini bermakna amda terpaksa menukar CI anda sekiranya ianya rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi.....




Sekian,terima kasih..Sharing is caring....



Khamis, 1 November 2012

Lapel microfon satu kaedah pengajaran

Salam semua.Sudah agak lama saya tidak update ruangan blog saya.Ini kerana saya sudah tidak memiliki akses internet di rumah lagi.Terasa berat nak mengeluarkan wang membayar bil internet sedangkan wang itu boleh digunakan untuk penabungan bagi menghadapi masalah di kemudian hari.

Namun itu tidak bermakna blog ini harus terkubur sama.Saya akan mencuri sedikit masa untuk menulis mengenai pengalaman saya belajar mendengar.Hari ini saya ingin berkongsi satu kaedah pembelajaran.Kaedah itu ialah mengunakan Lapel microfon.


Saya dapati semasa menggunakan Lapel microfon,Kekuatan volume yang saya dengari adalah jauh lebih kuat dari biasa.Ini kerana apabila kita memasang lapel microfon di alat Processor kita,secara automatik Lapel microfon itu mengambil alih fungsi microfon asal yang terdapat di alat processor.

Sepertimana kita ketahui,Dengan penggunaan sehari-hari,microfon asal yang terdapat di alat Processor terdedah kepada debu,habuk,peluh dan air.Ini membuatkannya sering tersumbat .Walaupun memiliki perlindungan seperti penutup microfon yang berpenapis,(yang mesti ditukar setiap 3bulan),namun kualiti bunyi turut merosot.

Bayangkan sebuah kipas yang bersih.Semasa bersih anginnya terasa laju dan sejuk.Namun selepas 3,4 bulan ianya akan berhabuk,maka anginnya juga terasa seperti tidak terasa dan tidak sejuk walaupun mengunakan kelajuan yang paling tinggi.Itulah yang saya maksudkan.

Berbalik kepada lapel microfon pula,kerana ianya tidak memiliki penutup bertapis seperti yang terdapat di dalam processor,maka bunyi yan terhasil lebih kuat(kerana ianya tidak memerangkap habuk).Jadi saya mencadangkan penggunaan lapel microfon ini didalam pembelajaran anak anda.


Selamat mencuba