nuffnang

Jumaat, 13 April 2012

Sejarah Hidup Saya

Salam semua.Ini adalah catatan pertama saya.Biarlah saya menerangkan kisah hidup saya dahulu.Saya dilahirkan sebagai Insan Normal.Segalanya cukup indah sehingga saya berumur 9 tahun.Saya telah diserang demam panas.Namun selepas sembuh,segalanya masih lagi normal sehinggalah saya berumur 10 tahun.Semasa bersekolah,guru yang mengajar perasan akan sesuatu yang tidak kena pada saya.Saya agak ketinggalan di dalam pelajaran,berbanding rakan sebaya yang lain.

Guru itu memberitahu ibu bapa saya akan masalah yang dihadapi saya didalam pelajaran.Pada pendapat guru itu,mungkin saya mengalami masalah rabun.Jadi dia pun mengesyorkan saya berjumpa Doktor mata untuk memastikan apa masalah saya.Doktor mata memeriksa saya,namun tidak menemui sebarang keganjilan atau kecacatan pada mata saya.Namun doktor itu mengesyorkan seorang doktor yang juga rakannya,seorang Doktor Telinga,hidung dan tekak supaya memeriksa saya.

Semasa berjumpa Doktor Telinga,hidung dan tekak itu,saya telah menjalani Ujian pendengaran iaitu mendengar di dalam sebuah bilik kedap bunyi.Di kedua-dua belah telinga saya dipasangkan Earphone.Kemudian,pada satu telinga akan didengarkan bunyi pada kekuatan yang tentu,dimulai pada bunyi yang kuat dan kemudian beransur-ansur lemah.Sekiranya saya mendengar bunyi,maka saya akan memberi isyarat yang saya mendengar bunyi.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua belah telinga saya mengalami masalah pendengaran yang serius.Kes saya kemudian dirujuk ke HUKM.Saya telah berjumpa dengan Pakar Telinga,Hidung dan tekak iaitu Dr.Lokman Saim.Selepas Dr.Lokman  Saim memeriksa saya,beliau mendapati tiada rawatan yang boleh dilakukan,hanya mengesyorkan saya memakai alat bantu Pendengaran.Pada masa itu,Kejayaan Ang Boon Soon,penerima Implan Koklea pertama masih baru diperkatakan.Namun agak malang kerana pada masa itu,tiada insentif atau bantuan dari Pihak Kerajaan untuk membantu golongan yang menghadapi masalah seperti saya.

Contoh alat bantu pendengaran yang dipakai saya

Alat bantu pendengaran menjadi teman saya.Namun alat ini hanya menguatkan bunyi,tidak banyak yang alat ini dapat lakukan untuk membantu saya mendengar dengan lebih jelas.Ini menyebabkan saya terpaksa melatih diri satu kemahiran baru iaitu Membaca Gerak Bibir.Untuk makluman semua,saya bersekolah di Sekolah Normal,tidak memasuki sekolah Khas.Cuba anda bayangkan didalam 1 sekolah,Dengan pelajar seramai 2 ribu orang,hanya saya seorang yang pekak.Saya terpaksa berdikari sekiranya tidak mahu ketinggalan di dalam pelajaran.Mujurlah ramai teman sebaya yang memahami,serta guru-guru yang prihatin,banyak membantu saya di dalam pelajaran.Hasilnya didalam kelas saya,hanya saya satu-satunya yang memperolehi keputusan 5a didalam SPM.


Keputusan ini membakar semangat saya sehingga saya berjaya menjejak kaki di menara Gading dan mengengam diploma.Namun selepas meninggalkan menara gading,ternyata di Alam pekerjaan,segalanya teramat mencabar untuk golongan seperti saya bekerja bersama mereka yang normal.Bos serta rakan yang tidak memahami kekurangan,dinafikan kenaikan pangkat serta dimarahi kerana saya tidak mendengar apa yang mereka katakan menjadi cabaran saya.Hampir saja saya berputus asa untuk bekerja,namun saya kuatkan hati dan semangat.

Alhamdulilah,pada bulan 4 2011 saya telah berjaya mendapat pekerjaaan yang setaraf dengan kelulusan saya dan terjamin iaitu sebagai kakitangan kerajaan.rezeki saya semakin murah apabila pihak kerajaan bersetuju menanggung kos pembelian Implan Koklea serta pembedahan.

Kini saya telah diberi PELUANG KEDUA oleh ilahi untuk mendengar.Sebab itulah saya namakan Blog ini My Bionic Diary.Saya ingin berkongsi pengetahuan,pengalaman saya semasa belajar mendengar menggunakan implan ini.Saya berharap Blog saya ini dapat menambah pengetahuan kepada ibu bapa yang mana anak mereka mengalami masalah seperti saya.

Sekian,Terima Kasih

Mohammed.Najib Ibrahim

2 ulasan:

  1. boleh saya mengetahui nama alat pendengaran..

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,
    terima kasih atas perkongsian yang amat bermakna, secara tak langsung saya belajar memahami seorang anak murid pendidikan khas yang memakai CI. Teruskan menulis, semoga usaha ini dapat meningkatkan lagi kefahaman orang ramai untuk menerima, memahami dan mendekati mereka yang memakai CI.
    Barakallahufiik.

    BalasPadam